Thursday, April 7, 2011

AKU NAK DIET

Cara Diet Yang Sesuai

Cara Diet Yang Sesuai

Artikel Cara Diet Yang Sesuai dari Berita Harian


Sasaran realitik, jenis pemakanan dan rutin fizikal elak tubuh terjejas

ADA pelbagai alasan mengapa seseorang individu mengamalkan diet. Masalah berat badan yang tidak setimpal ketinggian, inginkan keadaan fizikal terbaik atau memastikan badan sentiasa sihat adalah antara alasannya.
Namun, memadaikah diet itu dimulakan dengan hanya berbekalkan pengetahuan atau mengikut rakan-rakan? Jika itulah yang anda lakukan, ini bermakna anda berkemungkinan gagal kerana mengamalkan diet yang tidak berkesan.
Hakikatnya kebanyakan diet untuk kurus masa kini mempunyai struktur yang tegar kerana lebih cenderung memaksa untuk menyesuaikan diri dengan pelan diet yang disesuai mengikut individu, demikian jelas Pakar Diet dan Khidmat Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Cheras, Cindy Chua Shiu Sinn kepada Berita Minggu, baru-baru ini.

Ciri-ciri utama pelan diet untuk kurus menjanjikan perubahan yang pantas (berat badan); mempromosi makanan ‘ajaib’ dan fokus pada penyelenggaraan berat badan baru untuk jangka panjang.

“Bagi diet yang menetapkan jumlah 1000 kalori sehari, tubuh akan mengalami masalah kekurangan nutrisi penting yang memperlahankan metabolisme, kehilangan otot dan membahayakan sistem kekebalan tubuh selain mengalami lemah tubuh dan muntah,” katanya.

Chua berkata, pengiklan yang menjanjikan anda akan kehilangan 4.5 kilogram dalam seminggu kedengaran agak mustahil untuk dicapai ini kerana jika berat badan susut mendadak ia disebabkan badan kehilangan air atau kehilangan massa otot dan bukan dari pembakaran lemak.
Beberapa kajian turut menunjukkan diet pepejal mempunyai kesan lebih besar mengurangkan pengambilan makanan dan tenaga. Diet cecair biasanya diet seimbang yang mengandungi protin dan sejumlah kecil mengandungi karbohidrat dan lemak.

“Namun, walaupun diet cecair senang diikuti dan boleh membantu mengurangkan berat badan dalam jangka pendek, kebanyakan individu akan kembali berhadapan masalah berat badan sebaik berhenti mengambil diet cecair itu.

“Diet sebegini tidak mengajar individu membuat pilihan makanan cara sihat sedangkan ia adalah kemahiran penting mengekalkan berat badan yang baru dicapai. Menerusi diet makanan pepejal, individu boleh menikmati makanan dalam bentuk semula jadi. Tetapi bukan semua diet makanan pepejal mengajar bagaimana memilih makanan yang diperlukan dan kemahiran untuk mengekalkan penurunan berat badan.

“Langkah yang perlu ada sebagai persiapan sebelum menurunkan berat badan ialah tetapkan satu sasaran yang realistik dan boleh dicapai; pilih pelan pemakanan yang sesuai selain mengajar anda memilih dan menyiapkan makanan sihat dan bagaimana mengekalkan berat badan baru; selepas berjaya menurunkan berat badan amalkan gaya hidup yang sihat seperti diet berkhasiat selain rutin aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan,” katanya.

Bagaimanapun, peringatan Cindy, sesiapa pun boleh mengamalkan diet kecuali kanak-kanak, wanita hamil, remaja serta orang sakit. Kajian menunjukkan kanak-kanak masa kini mudah belajar mengenai kesan buruk akibat amalan pemakanan tidak sihat terhadap berat badan.

“Remaja tidak sepatutnya mengamalkan diet, malangnya diet dalam dunia remaja makin menjadi popular di kalangan masyarakat masa kini. Pada umumnya remaja yang diet mungkin tidak mampu untuk mendapat jenis khasiat yang tepat.
Akibatnya tumbesaran remaja akan terjejas dan mereka akan mengalami masalah kesihatan yang lain. Ramai remaja tidak tahu amalan diet yang sihat, akibatnya ramai remaja yang tidak mempunyai masalah berat badan mula berhadapan masalah itu sebaik mula diet.”

Diet secara mendadak juga, katanya, tidak baik untuk tubuh kerana akan kehilangan beberapa peratus tisu otot menyebabkan tubuh tidak dapat membakar lemak jika dibandingkan dengan jumlah lemak yang mampu dibakar tubuh sebelum diet. Ketika diet secara mendadak tubuh akan mengalami tempoh separa kelaparan. Ini akan menurunkan metabolisma badan anda dan mengorbankan tisu otot sebagai sumber tenaga.

“Persoalan sama ada wajarkan proses nyah toksin dilakukan sebelum memulakan diet masih tiada jawapan yang pasti. Ini kerana terdapat perbezaan pendapat di antara pengamal perubatan barat dengan pengamal kesihatan alternatif mengenai keberkesanannya,” Jika tenaga yang keluar melebihi tenaga yang masuk anda akan kehilangan berat badan. Amat penting untuk berfikiran positif dan realistik," katanya.


Info

Diet

  • Jenis diet untuk kurus termasuk diet pakej makanan, diet menu tetap, diet formula, diet jenis boleh diganti. Diet yo-yo tidak akan membantu mencapai berat badan yang ideal dan sihat kerana berat badan akan naik dan turun selepas diet. Malah diet yo-yo menyebabkan penyakit fizikal dan kemurungan.

  • Mereka yang mengalami masalah berat badan sesuai mengamalkan diet KECUALI kanak-kanak, wanita hamil, remaja serta orang sakit. Remaja yang diet boleh berdepan masalah kekurangan zat makanan yang diperlukan badan selain menjejaskan tumbesaran mereka.

    Tip

  • Sebelum menurunkan berat badan, tetapkan sasaran yang realistik dan boleh dicapai

  • Pilih pelan pemakanan yang sesuai selain mengajar anda memilih dan menyiapkan makanan sihat dan bagaimana mengekalkan berat badan baru

  • Selepas berjaya menurunkan berat badan amalkan gaya hidup yang sihat seperti diet berkhasiat selain rutin aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan.


  • 4 comments: