Friday, November 25, 2011

SADIS

Anak lihat cebisan daging bapa diheret treler




NAZUHA Mohd. Zainon yang cedera dibantu oleh seorang saudara yang datang menziarah di rumahnya di Serendah, Selangor, semalam. - Gambar SUHAILA AHMAD ZAKI.



RAWANG 20 Mei - Seorang pengawal keselamatan maut diheret sebuah treler sejauh 900 meter setelah motosikal dinaiki bersama anak perempuannya dilanggar oleh kenderaan itu di Kilometer 16 Jalan Rawang-Kuala Lumpur di sini pagi ini.

Anak perempuan mangsa, Nazuha Mohd. Zainon, 18, terselamat namun terpaksa menyaksikan cebisan daging bapanya bertaburan di atas jalan di situ.

Kejadian berlaku sehari selepas kedua-dua mangsa mengalami kemalangan yang sama membabitkan treler pada awal pagi semalam namun mereka terselamat walaupun mengalami sedikit kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Azmir Mohd. Nadzri berkata, dalam kejadian pukul 6.30 pagi ini, mangsa Mohd. Zainon Amin, 53, dan anak perempuannya, Nazuha Mohd. Zainon, 18, dalam perjalanan ke ibu kota selepas keluar dari rumah mereka di Taman Perumahan Antara Gapi, Serendah, Selangor.

``Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Mun Yee, Setapak, hendak menghantar anaknya yang bekerja sementara di sebuah kilang plastik di Gombak.

``Tiba di tempat kejadian berdekatan jejantas susur di Majlis Daerah Selayang, motosikal dua beranak itu dihimpit sebuah treler sehingga ke bahu jalan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azmir berkata, mangsa cuba mengawal motosikalnya tetapi gagal sebelum Nazuha tercampak beberapa meter ke bahu kiri jalan.

``Mohd. Zainon telah terperosok ke bawah treler dan diheret sejauh 900 meter menyebabkan dia mati serta-merta dan mayatnya berkecai.

``Pemandu treler terbabit yang menyedari kejadian tersebut telah menghentikan kenderaannya sebelum menghilangkan diri,'' katanya.

Difahamkan pemandu berusia dalam 30-an itu kemudiannya membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. Dia ditahan untuk siasatan.

Utusan Malaysia difahamkan, pemandu itu melarikan diri kerana bimbang akan dipukul orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Kemalangan ngeri melibatkan mangsa digilis treler ini merupakan kejadian kedua berlaku dalam minggu ini.

Isnin lalu, Nur Salina Saparedi, 7, murid Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang, Klang, maut digilis treler di depan mata ibunya ketika melintas Lebuh Raya Shapadu Lama untuk ke sekolah.

Azmir menambah, polis yang berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mendapati anak mangsa hanya mampu duduk di bahu jalan akibat kecederaan di kaki dan bahu kanan.

``Polis terpaksa mencari kenderaan yang melanggar mangsa dan mendapati ditinggalkan tanpa pemandu di tepi jalan kira-kira 900 meter dari tempat kejadian.

``Mayat mangsa pula ditemui berkecai berhampiran kenderaan tersebut.

``Motosikal mangsa juga hancur,'' katanya.

Kemalangan itu menyebabkan jalan kedua-dua hala mengalami kesesakan teruk.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya pada pukul 12.20 tengah hari.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Norlida Abu Hassan, 43, seorang suri rumah dan enam orang anak.

Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batang Kali, selepas solat Jumaat hari ini.


*** Memang x sangka orang yang terlibat dalam kemalangan ni adalah kawan juanz sendiri. Walaupun berita ni dah lama, tapi baru sekarang kawan tu nak bgtau. So skang beliau pun dah pulih dan bahagia bersama keluarganya.

http://www.flickr.com/photos/jubeiz/14851210/






No comments:

Post a Comment